Masalah bahu kaku banyak terjadi kepada mereka yang berusia 30 tahun dan ke atas. Bila usia kita semakin meningkat, tahap kesihatan seseorang mulai merosot. Rasa lenguh dan sengal badan adalah antara situasi yang kerap dialami.
Antara bahagian badan yang sering mengalami kesakitan adalah lutut dan bahu. Seperti puan Rokiah, 43 tahun, beliau mula rasai sakit bahu sejak empat bulan lalu.
Beliau tidak mengendahkan kesakitan itu kerana menyangka hanya sengal badan yang biasa dialami mereka yang sudah berusia. Bagi mengurangkan rasa sakit, katanya dia hanya menggunakan khidmat tukang urut selain mengambil ubat penahan sakit.
Sakitnya tidak boleh digambarkan. Nak buat kerja rumah, mop lantai, sidai kain, bila angkat lengan lebih tinggi, bahu akan terasa sangat sakit. Jadi apa-apa kerja yang nak dibuat jika parasnya lebih tinggi, ia akan menekan kawasan sakit tersebut.
Jalani fisioterapi.
Beliau yang berkhidmat sebagai Guru Bahasa Inggeris di sebuah kolej swasta, juga menghadapi kesulitan untuk mengajar kerana memerlukan pergerakan yang banyak.
“Saya mula berjumpa doktor di klinik dan rawatan awal yang diberikan hanyalah mengambil pil penahan sakit dan vitamin saraf.
“Namun, suami dan anak-anak menggesa mendapatkan rawatan pakar kerana ubat yang diambil tidak mampu menghilangkan sakit.
“Selepas beberapa bulan menanggung kesakitan hingga ke tahap tangan tidak boleh diangkat, saya berjumpa pakar.
“Saya diminta menjalani fisioterapi dan prosedur Pengimejan Resonans Magnet (MRI) untuk mengesan punca kesakitan.
“Hasil MRI mendapati ada beberapa kawasan pada tulang tengkuk bermasalah kerana sudah terkeluar dari postur,” katanya.
Bahu sukar digerakkan
Pakar mengklasifikasikan kesakitan bahu itu sebagai bahu kaku (Frozen Shoulder). Serangan itu juga dipanggil ‘adhesive capsulitis’.
Serangan menyebabkan kesakitan dan kekakuan pada bahagian bahu. Bahu sukar digerakkan, selalunya terjadi kepada individu berumur antara 40 tahun hingga 60 tahun. Lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki.
Norrihan ditahan di wad selama seminggu bagi memudahkan pakar menjalani prosedur pemantauan. Pakar perubatan memutuskan beliau menjalankan prosedur ‘Manipulation Under Anesthesia’ (MUA).
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, prosedur MUA dijalankan dengan membius penuh pesakit.
Ketika itu pakar akan menjalankan terapi rawatan manual bertujuan meningkatkan pergerakan artikular dan tisu lembut.
Prosedur itu kata beliau, mengambil masa sekitar 30 minit dan apabila sedar daripada kesan bius, beliau sangat sakit pada bahagian yang dirawat.
Bunyi tulang berlaga
“Doktor memberitahu bahawa ketika dia memusingkan tangan saya, mereka boleh mendengar bunyi tulang berlaga dengan jelas,” ujarnya.
Kini, sudah hampir sebulan menjalani prosedur MUA dan kesakitan yang dialami berkurangan.
“Saya perlu menjalani sesi fisioterapi tiga kali seminggu dan setiap sesi berlangsung selama 45 minit,” katanya.
Beliau menasihatkan individu yang sering mengalami sakit bahu supaya segera berjumpa doktor.
“Cari rawatan yang betul dan jangan hanya bergantung kepada tukang urut,” katanya.
Punca bahu kaku
*Kesakitan disebabkan oleh penyakit lain seperti diabetis
*Pernah mengalami kecederaan pada bahagian sekitar bahu
*Sering membawa beban berat
*Tekanan juga menjadi punca berlaku bahu kaku
*Banyak melakukan kerja terutama aktiviti memutar lengan