Sehingga Rabu, 22 Januari 2020, virus misteri yang berasal dari Wuhan, China telah membunuh 17 dan dijangkiti lebih daripada 544 orang
Dan nampaknya, virus itu akan terus tersebar jika tiada langkah pencegahan diambil.
Menurut Business Insider, China menganggarkan rakyat mereka akan mengambil tiga bilion perjalanan ke kampung halaman mereka untuk merayakan Tahun Baru Cina hujung minggu ini, salah satu migrasi manusia terbesar di dunia.
Mujur pihak berkuasa bertindak pantas dengan mengkuarantin seluruh bandar Wuhan.
Perintah kuarantin yang bermula Khamis, 23 Januari 2020 menghentikan semua pengangkutan awam daripada masuk atau keluar dari bandar dan mengunci semua pesawat di lapangan terbang Wuhan.
1. Apa itu Wuhan Coronavirus?
Virus Wuhan, secara rasmi dinamakan 2019-nCOV, adalah virus baru yang tidak dikenal pasti oleh manusia sehingga pihak berkuasa China melaporkan kes pertama pada Disember tahun lepas.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), ia adalah sejenis coronavirus.
Coronavirus sebenarnya terdapat dalam pelbagai spesies haiwan dan bentuknya digambarkan sebagai pancang seperti mahkota di permukaan haiwan. Jarang sekali coronavirus ini berkembang dan menjangkiti manusia.
Coronavirus pertama kali dikenal pasti pada tahun 1960-an dan sejak itu, terdapat tujuh jenis yang dilapor menjangkiti manusia.
Empat daripada ini biasanya menyebabkan penyakit saluran pernafasan yang ringan dan sederhana seperti selesema biasa, dengan gejala yang terkenal seperti sakit tekak, batuk, dan sakit kepala.
Manakala tiga yang lain mampu menjejaskan kesihatan manusia ke tahap teruk:
– Sindrom pernafasan akut teruk (SARS) coronavirus yang membunuh hampir 800 orang di 32 negara pada tahun 2003,
– Sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS) coronavirus, yang pertama kali dilaporkan di Arab Saudi pada tahun 2012, dan
– Koronavirus Wuhan semasa dan terkini atau 2019-nCOV.
2. Adakah ia sama dengan virus influenza yang tersebar di Malaysia pada bulan Januari?
Tidak, dua virus ini berbeza sama sekali.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus influenza, yang menyebabkan selesema biasa, adalah sejenis orthomyxovirus, keluarga virus yang berbeza berbanding dengan coronavirus.
Terdapat dua jenis virus influenza: Jenis A dan B. Virus influenza A dan B secara rutin merebak pada manusia dan bertanggungjawab terhadap wabak selesema bermusim dan berulang setiap tahun.
3. Macam mana coronavirus baru ini menjangkiti manusia?
Menurut CNN, virus ini membuat orang jatuh sakit, biasanya dengan penyakit saluran pernafasan yang ringan hingga sederhana, serupa dengan coronavirus lain dan selesema biasa.
Gejala termasuk hidung berair, batuk, sakit tekak, mungkin sakit kepala, dan mungkin demam, yang boleh berlarutan selama beberapa hari.
Walau bagaimanapun, virus itu barangkali mampu menyebabkan penyakit saluran pernafasan yang lebih serius, seperti radang paru-paru, tetapi biasanya hanya berlaku kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, seperti orang tua dan yang anak kecil.
4. Apa sebab virus ini merebak dari haiwan kepada manusia?
Sebenarnya, keupayaan virus untuk bermutasi dan menjangkiti manusia bukan sesuatu yang luar biasa.
Para saintis berfikir MERS bermula pada unta, sementara SARS datang dari kucing civet (walaupun virus itu datang dari kelawar).
Walaupun saintis dapat menghubungkan wabak coronavirus baru ini dengan pasar makanan laut di Wuhan, mereka masih belum mengenal pasti haiwan pertama yang menyebabkan penyebaran virus tersebut.
Malangnya, usaha untuk mengenal pasti haiwan itu mungkin sukar kerana pasar terbabit terlibat dalam menjual hidupan liar eksotik secara haram seperti unta, rubah, badak, tikus buluh, landak dan ular.
Para saintis berkata “keadaan yang tidak normal”, di mana haiwan dibawa bersama dan sering ditempatkan dalam kandang yang kotor berdekatan orang awam, mewujudkan peluang mudah untuk virus tersebut merebak antara haiwan, yang kemudiannya menjangkiti manusia.
5. Macam mana pula ia boleh tersebar di kalangan manusia?
Coronavirus paling kerap merebak dari orang yang dijangkiti kepada orang lain melalui:
– Udara daripada batuk dan bersin,
– Sentuhan kulit seperti berjabat tangan,
– Menyentuh objek atau permukaan dengan virus di atasnya, kemudian menyentuh mulut, hidung, atau mata sebelum mencuci tangan, dan
– Jarang terjadi, pencemaran najis.
6. Jadi, patut ke kita mula panik?
“Tidak, saya tidak fikir kita harus panik, kerana panik bukanlah pendekatan yang baik,” kata Profesor Paul Tambyah, dari jabatan perubatan di Universiti Nasional Singapura, seperti yang dipetik oleh The Straits Times.
Sebaliknya, profesor itu meminta orang ramai untuk berwaspada dan berhati-hati dengan kebersihan tangan, dan jika tidak sihat, dapatkan rawatan perubatan segera atau duduk di rumah.
Tambahan pula, BBC melaporkan bahawa kebanyakan mereka yang dijangkiti adalah orang tua, dan mereka yang meninggal dunia telah menderita daripada penyakit kronik lain termasuk Parkinson dan diabetes.
7. Apa penawar atau ubat untuk virus ini?
Menurut The Telegraph, tidak ada rawatan khusus untuk coronavirus – sama seperti tidak ada rawatan untuk selesema biasa.
Pakar menasihati penjagaan awal, tetapi dalam kebanyakan kes, gejala ini akan hilang sendiri. Rawatan di hospital kebanyakannya bertujuan untuk melegakan gejala dengan menetapkan ubat sakit atau demam.
CDC mencadang meletakkan sebuah humidifier di bilik atau mandi air panas untuk melegakan sakit tekak atau batuk. Mereka juga mengesyorkan minum banyak air suam, duduk di rumah, dan dapatkan rehat yang cukup.
8. Apa yang kita boleh buat untuk mencegah penyebaran coronavirus?
Buat masa ini, tiada vaksin yang tersedia untuk melindungi jangkitan coronavirus manusia.
Walau bagaimanapun, CDC mencadangkan langkah berjaga-jaga standard bagi mencegah sebarang jangkitan virus yang merangkumi:
– Cuci tangan, terutamanya selepas sentuhan langsung dengan orang sakit dan persekitarannya,
– Menutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin,
– Memasak daging dan telur dengan teliti, dan
– Menghindari hubungan rapat dengan sesiapa yang menunjukkan gejala penyakit pernafasan seperti batuk dan bersin.