Kerap Pam dan Simpan
Lebih banyak anak menyusu, lebih banyak susu dihasilkan. Konsep ‘supply and demand’ rata-rata diperkatakan di forum ilmiah berkaitan penghasilan penyusuan badan. Namun perlu diingat, ia perlu dilaksanakan dengan strategi yang sesuai, bukan semberono hanya menyusu dan pam sepanjang hari tanpa henti. Cubalah konsep ‘smart pumping’ di mana setelah anda menyusukan anak, rehatlah selama 10 minit sebelum menyambung pam susu untuk 10 minit.
Ulang kaedah pam dan rehat ini dua kali. Pam yang pertama mungkin akan menghasilkan sedikit atau hampir tiada susu langsung. Namun, sekurangnya kelenjar susu dan otak akan tersimulasi dan terlatih untuk menghasilkan susu mencukupi dek kerana tubuh anda percaya anda perlu menyusukan bayi ‘kembar’.
Banyakkan Susu Badan Dengan Makan 3 Hidangan Berkhasiat dalam Sehari
Untuk menghasilkan susu badan memerlukan lebih kurang 300 kalori. Nilai kalori tersebut adalah bersamaan dengan 200 gram isi ayam, semangkuk salad ringkas, sayur kacang panjang dan secawan air masak. Itu baru kalori untuk menghasilkan. Bagaimana dengan isi kandungan susu badan pula?
Susu badan perlu mengandungi kalori dan lemak tinggi untuk tahun pertama bayi. Mereka memerlukan lebih lemak baik untuk pembentukan sel otak dan untuk tumbesaran tubuh yang lancar. Cara mudah untuk melihat kandungan lemak dalam susu badan adalah dengan membiarkannya beberapa minit atau meletakkannya didalam petisejukbeku. Lapisan lemak akan terpisah dan terapung di bahagian atas susu. Lebih banyak lemak terapung bermaksud lebih banyak nutrisi untuk bayi anda.
Jauhi Makanan Perenjat Penghasilan Susu Badan
Tips banyakkan susu badan yang selanjutnya ialah berkaitan makanan. Antara makanan perenjat susu adalah yang bersifat diuretic, iaitu yang menggalakan pembuangan air kecil. Kandungan utama susu badan adalah air, oleh itu kekurangan air dalam badan harus dielakkan. Sayuran lain yang terbukti merenjat penghasilan susu sekiranya diambil dengan banyak termasuklah kobis, parsley dan oregano. Malahan minuman koko yang terkenal juga dikatakan mampu merenjat penghasilan susu.
Kebergantungan kepada makanan dan minuman pemberi tenaga akan menyebabkan tubuh anda kekurangan nutrisi berbanding jika anda makan makanan berkhasiat. Makanan pemberi tenaga membekalkan kalori yang banyak tetapi tidak mampu membekalkan vitamin, nutrisi dan serat. Selain itu, makanan terlalu pedas dan berempah perlu dielakkan kerana dikhuatiri tidak bersesuaian dengan sistem penghadaman si comel.
Makanan perangsang susu semulajadi yang terdiri daripada buah–buahan dan sayur-sayuran adalah termasuk kurma, kismis, delima, buah kembang semangkuk, biji chia dan pelbagai lagi. Set lengkap penggalak susu yang terdiri dari buah-buahan kering mungkin boleh dibeli di kedai perubatan cina terdekat. Mengikut pengalaman saya, set tersebut adalah seakan-akan ‘Cikang’ yang turut mengandungi kurma merah, kembang semangkuk, longan kering dan biji selasih.
Boleh juga cuba Halba (Fenugreek) untuk menambahkan susu dalam badan.
Banyakkan Susu Badan Dengan Urutan Rangsangan ‘Mermet’
Urutan ‘Mermet’ adalah seakan-akan cara pemeriksaan buah dada yang dilakukan dari luar puting dan bergerak hingga ke bahagian puting (areola). Kemudian gerakan tertumpu pada kawasan kelenjar susu berada, iaitu sekitar areola. Faedah yang boleh didapati adalah merangkumi melancarkan pengaliran susu, merangsang kelenjar dan akhir sekali ialah ia adalah kaedah memerah susu semulajadi. Ia kaedah yang sesuai sekiranya anda terlupa atau belum membeli set pengepam susu yang bersesuaian.
Kaedah ini jauh lebih tepat dalam menyasarkan rangsangan kelenjar, lebih murah dan kurang sakit berbanding sesetengah jenis pengepam susu di pasaran. Namun ia agak meletihkan tangan dan menadah susu yang terhasil juga perlu melalui latihan sebelum segalanya menjadi lebih biasa dan mudah. Alah bisa, tegal biasa ya puan.
Elak Kelenjar Susu Badan Tersumbat dan Bengkak
Sesetengah ibu diuji dengan ‘mastitis’ iaitu pembengkakan kelenjar yang diakibatkan oleh jangkitan kuman melalui luka di kawasan puting.
Cuba pastikan kulit disekitar dada tidak terlalu kering dek pemakaian sabun badan berlebihan. Ketika mandi juga, bersihkan dengan lembut sebarang kerak susu yang mungkin berada di hujung areola. Pemakaian baju dalam menyusu pula, sudah boleh dipraktikkan sejak anda mengandung dan mengalami pembesaran saiz buah dada.
Pakaian dalam menyusu yang baik kebiasaannya mempunyai tali sokongan yang lebih besar, material menyerap peluh, kain bersifat lembut, tidak licin dan mempunyai klip untuk memudahkan penyusuan. Sekiranya terasa payudara membengkak, bolehlah anda menggunakan air suam selama beberapa minit ketika mandi atau untuk menuam payudara. Kemudian perah atau terus susukan bayi sehingga payudara terasa kosong. Untuk merehatkan otot dan lemak di kawasan dada, boleh diikuti dengan menuam dengan air sejuk.
Saya sendiri memiliki pek kecil ‘hot cold’ yang boleh digunakan semula setiap kali. Ia adalah pek yang boleh dipanaskan melalui rendaman air panas atau melalui mesin gelombang mikro.
Untuk menyejukkan pek ini pula, letakkan ia di dalam bahagian pembeku peti sejuk anda. Ia amat berguna ketika melalui tempoh berpantang dan selama anda menyusukan anak anda. Ia adalah jauh lebih mudah dari penggunaan daun kobis yang perlu didapati segar, perlu dibersihkan dan tidak mampu berada dalam suhu yang rendah dalam tempoh yang panjang. Malahan ia perlu selalu ditukarganti dan dibeli.
Dalam Mahu Banyakkan Susu Badan, Percayalah Rezeki Anak
Tanam impian dan baja dengan usaha. Berdoa dan cuba dampingi bayi sekerap mungkin. Penghasilan hormon perangsang kasih sayang iaitu oxytoxin boleh menggalakkan pengaliran susu ke payudara dan menggalakan ‘bonding’ antara ibu dan anak. Hormon prolactin yang menggalakkan penghasilan susu pula, hanya boleh dilatih dan dirangsang melalui penyusuan dan pengepaman susu.
Anda perlu percaya kepada ketetapan rezeki anak. Banyak atau sedikit semuanya sudah ditetapkan, namun usaha jangan dilupakan. Selain itu, hubungan dengan Tuhan dan orang lain perlu dibaiki sebaik boleh demi mengelakkan tekanan perasaan yang boleh merenjat penghasilan susu dan mengakibatkan masalah meroyan yang di takuti membawa kemudaratan. Berkongsi perasaan dan mengadu adalah lumrah bagi seorang wanita demi mengurangkan tekanan.
Usaha Berkekalan dan Jangan Culas Dalam Ikuti Cara Banyakkan Susu Badan
Kebanyakan ibu yang meyusukan anak adalah ibu yang berkerjaya. Walaupun anda letih, cuba cari masa dan tenaga untuk mengepam ketika di tempat kerja. Di rumah pula,tugas ibu membersihkan, memasak dan melayan keluarga pula seperti tidak berkesudahan. Ingatlah anda berada dalam sebuah unit keluarga yang terdiri daripada lebih seorang individu. Minta sokongan pasangan dan ahli keluarga dimana ketika anda mengepam susu, mereka boleh membantu dari segi membuat kerja-kerja di rumah disamping melayan anak.
Tanamkan di minda semua bahawa susu badan jauh lebih murah, berkhasiat dan baik untuk kekuatan imun tubuh bayi. Tubuh yang lemah boleh mengakibatkan bayi mudah dijangkiti penyakit dan memerlukan belanja yang lebih untuk merawatnya. Apabila mereka jatuh sakit, sudah pasti seluruh keluarga akan berasa sedih dan susah hati.