Hati merupakan kuasa utama organ. Ia melakukan pelbagai peranan penting; mulai dengan menghasilkan protein, kolesterol dan menyimpan vitamin, mineral dan juga karbohidrat. Menjaga hati dengan baik adalah penting untuk mengekalkan kesihatan dan ia bermula dengan menjaga setiap makanan serta mengambil suplemen untuk hati. Ikuti artikel ini untuk mengetahui beberapa jenis makanan terbaik untuk hati.
11 makanan terbaik untuk hati
- Oat
Merupakan makanan yang kaya dengan serat yang dapat membantu hati menjalankan peranannya dengan lebih baik. Serat turut membantu proses pencernaan. Kajian turut menyatakan oat dapat membantu mengurangkan berat, dan cara terbaik untuk menjauhi risiko penyakit berkaitan hati.
- Kopi
Merupakan antara salah satu minuman terbaik yang boleh untuk membantu mempertingkatkan kesihatan hati. Terdapat kajian mengatakan pengambilan kopi harian dapat melindungi hati dari penyakit, seperti kanser hati walaupun kepada individu yang mempunyai masalah dengan organ ini.
Kopi dapat mengurangkan keradangan dan meningkatkan paras glutathione antioksidan. Antioksidan ini akan meneutralkan radikal bebas berbahaya yang dihasilkan secara semula jadi oleh badan yang boleh menyebabkan kerosakan pada sel.
- Teh hijau
Minuman ini dikatakan dalam membantu mengurangkan kandungan lemak keseluruhan, melawan tekanan oksidatif, dan mengurangkan tanda-tanda lain penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD). Teh hijau kaya dengan antioksidan yang dipanggil katekin, dan ia berkemungkinan dapat melindungi badan daripada beberapa jenis kanser termasuk kanser hati.
- Brokoli
Tambahkan pelbagai jenis sayuran dalam diet pemakanan anda jika anda ingin mengekalkan hati yang sihat, dan brokoli boleh menjadi sebahagian daripada diet anda. Terdapat kajian mengatakan sayuran rangup ini dapat menghindari anda dari penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD).
- Kekacang
Kacang terutamanya almond, adalah sumber vitamin E yang baik, dan dapat membantu melawan NAFLD, malah, almond sangat bagus untuk kesihatan hati anda.
- Sayuran berdaun hijau
Seperti bayam, sayuran berdaun hijau mempunyai antioksidan yang hebat dipanggil glutathione, yang membantu hati untuk bekerja dengan betul.
- Beri biru
Mempunyai kandungan nutrien yang dipanggil polifenol (polyphenols) yang melindungi dari penyakit NAFLD, yang kerap berlaku kerana obesiti dan kolesterol tinggi. Jika anda tidak meminati buahan ini, anda boleh mencuba coklat gelap, zaitun atau plum yang turut mengandungi polifenol.
- Herba dan rempah
Mahu melindungi hati dan jantung dalam masa yang sama? Taburkan sedikit oregano, sage atau rosemary – sumber yang kaya dengan polifenol. Lebih menarik, menggunakan herba sebegini dapat mengurangkan penggunaan garam dalam kebanyakan resipi. Serbuk kayu manis, kari dan jintan juga baik untuk dicuba.
- Anggur
Terutama yang berwarna merah dan ungu, mengandungi sebatian tumbuhan yang bermanfaat – paling terkenal resveratrol, bermanfaat untuk kesihatan. Ia dapat merendahkan keradangan, cegah kerosakan dan meningkatkan tahap antioksidan.
- Ikan berlemak
Mengandungi asid lemak omega-3, lemak sihat yang dapat mengurangkan keradangan dan merendahkan risiko penyakit jantung. Lemak yang terdapat dalam ikan juga boleh dianggap sebagai suplemen untuk hati, membantu mencegah penghasilan lemak, mengekalkan enzim pada tahap normal, melawan keradangan dan meningkatkan ketahanan insulin.
- Bawang putih
Kajian menunjukkan bawang putih dapat mengurangkan berat badan dan lemak bagi individu yang menghidapi NAFLD. Ia juga dikatakan dapat mengaktifkan enzim yang membantu badan menyingkirkan toksik berbahaya. Kaya dengan sebatian allicin dan selenium yang membantu dalam proses pembersihan hati.
Makanan yang harus dielakkan
- Makanan berlemak
Kentang goreng dan burger adalah pilihan yang sangat tidak menyihatkan untuk menjaga kesihatan hati. Terlalu banyak makanan lemak tepu boleh membuatkan hati mengalami kesukaran untuk menjalankan tugasannya. Lama-kelamaan ia akan menyebabkan keradangan dan mungkin akan mengakibatkan parut pada hati yang dikenali sebagai sirosis.
- Makanan manis
Mengambil terlalu banyak makanan manis boleh menyebabkan kesesakan pada hati anda. Ini kerana sebahagian tugas hati adalah untuk menukar gula menjadi lemak. Terlalu banyak gula mengakibatkan peningkatan lemak dalam hati. Dan untuk tempoh jangka masa panjang, ia akan menyebabkan penyakit hati berlemak. Jadi kurangkan pengambilan makanan manis.
- Alkohol
Pengambilan alkohol terlalu banyak boleh mendatangkan malapetaka kepada hati yang untuk tempoh masa panjang, boleh menyebabkan sirosis.
Jaga hati sebaiknya
Hati merupakan organ penting yang menjalankan pelbagai fungsi. Lakukanlah yang terbaik untuk melindunginya dan perbanyakkan memakan makanan yang baik untuk hati dan hindari makanan yang boleh menyebabkan kemudaratan.
Sumber artikel: Hellodoktor.com